world counts on you
Sastera memainkan peranan penting dalam menyingkap kehidupan peradaban
manusia. Tanpanya kehidupan ibarat tiada tempat dalam singkapan peradaban suatu
ummat. Segalanya memerlukan sastera. Ilmu-ilmu apa pun dalam kehidupan manusia memerlukan
sastera. Tanpanya tiada ungkapan yang sesuai dalam menyampaikan maklumat yang
diperlukan. Hatta ilmu sains sekalipun memerlukan bahasa dan sastera untuk
menyingkap istilah-istilah dalam peradabannya. Ilmu matematik juga memerlukan
sastera dan bahasa yang sesuai untuknya. Al-Quran adalah kitab yang diturunkan
oleh Allah dalam sasteranya tersendiri. Menggunakan bahasa dan sastera Arab
yang tinggi lagi mendalam maknawinya. Sastera biasanya dikaitkan dengan bahasa
dan cerita-cerita. Ada yang menganggap sastera hanya berkisar tentang
cerita-cerita dongeng dan bahasa bunga-bunga tanpa matlamat kehidupan yang
maju. Sains dan teknologi diberikan perhatian yang lebih sedangkan tanpa
disedari ia menggunakan bahasa dan istilah percakapan juga, yang mana tidak
boleh lari dari kemahiran bahasa dan sastera setempat. Ini berlaku di mana-mana
jua di dunia ini yang menganggap kemajuan tidak memerlukan kepada bahasa dan
sastera. Ini salah, ternyata kemajuan banyak berkait dengan ketinggian kemajuan
bahasa sesuatu bangsa sendiri.
Suatu masa dulu, cara bercerita atau menyampaikan maklumat banyak
bergantung kepada lisan dan dengar sahaja. Ia berlaku dari mulut ke mulut.
Ingatan dan hafalan orang-orang dahulu kala memang kuat tanpa memerlukan kepada
alat tulis. Alat tulis jarang didapati dan susah untuk mendapatkannya. Hanya
sesuatu tempat tertentu sahaja yang mungkin mudah.
Untuk menyampaikan maklumat tertentu maka adalah khas bagi seorang yang
mahir bercerita yang digelar Penglipur Lara dikalangan orang Melayu. Ia adalah
bentuk menyampaikan maklumat atau hiburan secara lisan. Secara mudahnya, ia
bergantung kepada gambaran dan khayalan orang yang mendengarnya.
Ia berubah pula kepada zaman cara bertulis. Cerita-cerita ditulis dan
dibaca dikhalayak ramai. Ada juga digantung di jalan-jalan atau laluan orang
ramai seperti di pasar-pasar. Selangkah demi selangkah timbul pula cara lukisan
berkisar kisah-kisah kebanggaan sesuatu kaum. Ia diukir dan dipamerkan di
dinding-dinding batu atau kota sesebuah kerajaan.
Kemudian, bentuk menyampaikan cerita atau maklumat ini berubah kepada segi
lebih maju sedikit iaitu secara pandang dengar. Biasanya cerita disampaikan
dengan memaparkan lakonan pentas atau menggunakan boneka. Contohnya bangsawan, wayang
kulit dan patung. Ia terselit dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di
dalamnya mengikut kepentingan atau tujuan ia disampaikan. Samada untuk
mengagungkan sesuatu bangsa atau mengangkat pandangan masyarakat terhadap kedaulatan
raja-raja mereka.
Penyampaian maklumat atau cerita berkembang pula ke era moden di mana alat
pandang dengar digunakan. Alat moden seperti radio dan TV berleluasa. Begitu
juga wayang gambar yang memerlukan tenaga dan alat yang banyak untuk
memaparkannya kepada umum sehingga terpaksa menggunakan latihan yang tinggi.
Sejak dahulu lakonan pentas menggunakan dialog secara langsung tanpa henti
dan hafalan yang jitu. Tidak lagi dengan lakonan filem. Ini kerana lakonan
filem dirakam dan boleh diolah serta diubah secara berulang-ulang kali sehingga
menepati kehendak pengarah. Mata pengarah ialah juga menggambarkan mata
penonton. Sebelum mula ditayangkan kepada khalayak umum ia haruslah disunting
menjadikan cerita lebih lancar dan lebih difahami. Haruslah ia menepati maksud
dan kehendak di sebalik penceritaan filem itu.
Filem sebagai medium penyampaian maksud, kehendak, fahaman, pengajaran,
tauladan dan isu. Di samping ia sebagai medium hiburan namun ia sebenarnya
menghibur di sebalik teladan cerita. Cara memberikan pengajaran dan teladan
dengan cara bercerita lebih lunak dan halus. Ia lebih baik dari menasihati
secara langsung atau menegur dengan emosi. Walaupun di dalam cerita ada emosi
dan perasaan diselit-selit di celahnya namun begitu ia lebih kepada menarik
perhatian khalayak untuk mengamatinya kerana ia diselindungkan oleh watak dalam
cerita. Ia sebagai menggantikan watak sebenar di luar alam nyata ini.
Jika sesuatu isu dijadikan cerita dan disampaikan dalam bentuk filem, drama
atau lakonan pentas, ia berfungsi lebih baik dan memberikan kesan positif untuk
mudah ditiru atau diajuk oleh penonton. Kebanyakan cerita dalam filem, drama
dan lakonan pentas akan melekat ke dalam jiwa dan minda khalayak lebih mudah
dan lebih lama. Ini kerana ia mudah diikuti dan diajuk. Sayugialah jika kita
membikin filem yang bercorak pengajaran positif. Sebaliknya jika perkara negatif
ditunjukkan dalam filem, drama dan lakonan nescaya ia menjadi rujukan oleh
anak-anak muda seperti contohnya filem-filem tentang keganasan dari Hollywood.
Kita telah dipaparkan dengan filem-filem sebegini sekian lama, ada juga filem
tentang perkara positif dari Hollywood, ia juga mudah diikuti sehingga
seolah-olah dianggap Hollywood atau Amerika sahaja positif.
Oleh kerana fungsi filem amat berkesan dalam menyatakan sesuatu seperti
kehendak masyarakat, politik, patriotik dan propaganda maka ia haruslah diambil
berat. Ia bukan sahaja medium mencari glamor, selebriti, populariti atau komersil.
Dari sudut hiburan, ya mungkin tetapi dari sudut sastera, tidak.
Sastera mengajarkan bagaimana kita harus menangani perfileman yang bermutu.
Seni yang bermutu bukan hanya melihat kepada komersil dan populariti. Bahkan ia
melihat dari beberapa sudut yang telah dinyatakan di atas iaitu pengajaran,
teladan, isu propaganda dan kehendak masyarakat. Kita boleh mengangkat martabat
semangat perjuangan kita, semangat cintakan tanahair dan bangsa kita melalui
penceritaan filem. Seperti contohnya di Thailand ada filem King Narusuan, Queen
of Langkasuka(Pattani) Jumbo Gajah Biru dan banyak lagi. Kenapa Thailand? Ini
kerana banyak hasil penceritaan dalam filem adalah berkisar tentang mengangkat
martabat bangsa mereka melalui kisah-kisah semangat perjuangan dan semangat
cintakan tanahair. Berbanding di negara kita Malaysia yang hanya menumpukan
kepada komersil dan populariti sahaja sejak mutakhir ini.
Sastera dan seni memainkan peranan yang amat penting ketika ini. Perfileman
dan lakonan memberikan kesan yang besar kepada masyarakat umumnya. Ia dapat
digabungkan menjadi peranan yang terbaik dan berkesan terhadap masyarakat yang
positif. Akhir sekali, majulah filem untuk Negara!