0 comments

ALLAH DALAM BIBLE ATAU INJIL?

world counts on you

Suasana menjadi tegang setelah pada mulanya begitu dingin dan hambar sahaja seolah-olah yang berlaku itu tiada prasangka apa-apa. Penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible oleh Ahli Kitab Nasrani iaitu Kristian nampaknya diberikan permulaan yang baik sebagaimana kenyataan menteri UMNO dan ulama muda UMNO. Akhirnya setelah ada permintaan yang berikutnya oleh menteri parti Pakatan Rakyat iaitu DAP maka timbullah polemic yang tegang itu. Kenapa orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah sebagai menggantikan perkataan TUHAN dalam Bible?!
Sebenarnya isu ini adalah isu yang bergegar baru-baru ini saja sedangkan ia sudah lama dibisikkan oleh orang-orang dalam Barisan Nasional dulu lagi tapi tiada apa-apa tentangan. Selama ini penganut Kristian di Malaysia hanya ingin menggunakan kalimah TUHAN saja sebagai terjemahan dari Kitab Bible versi Inggeris untuk GOD atau LORD. Mereka juga menyebut Almighty God yakni Tuhan Yang Maha Kuasa. Mereka takut kalau-kalau mereka menjadi sama dengan orang Islam jika menggunakan kalimah ALLAH. Walaupun kita tahu yang agama Kristian atau Nasrani juga mendapat kitabnya dari Allah iaitu Nabi Isa diutuskan oleh Allah kepada orang Nasrani dengan Kitab Injil sebagai Kitab dari Allah yang mengandungi hukum-hakam Allah kepada mereka.
Kalimah Allah telah tertera jelas di dalam Injil sebagai Tuhan yang patut disembah. Sama juga Allah menyeru kita umat Islam agar menyembah Allah sebagai Tuhan yang satu dan semata-mata Allah yang tiada sekutu baginya. Agar tidak mensyirikkannya dengan sesuatu yang lain. Sejak beberapa lama kitab Injil diterjemahkan oleh penganutnya ke dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia. Akhirnya mereka tidak mengambil kalimah Allah yang tersebut dalam kitab asalnya lalu menterjemahkannya kepada GOD atau LORD. Saya terfikir kenapa mereka lari dari asalnya? Dulu saya kira bahawa mereka takutkan persamaan yang akan menyamakan Islam dengan mereka lalu mengislamkan mereka. Itu fenomena dulu tetapi sekarang ada pula kegegeran yang meluas menyatakan bahawa orang Kristian atau Ahli Kitab tidak selayaknya menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible mereka dalam konteks di Malaysia ini. Sebaliknya pula ada cadangan pihak Kristian untuk menggunakannya semula. Bagi saya ia adalah ibarat kembali semula ke gagang. Walaupun dahulunya mereka hanya melihat Allah sebelah mata sahaja. Bagi orang Kristian mereka tidak mahu menyembah ALLAH yang satu atau Allah Maha Esa mengikut orang Islam. Justeru meninggalkan ajaran Nabi Isa itu kononnya, lalu meninggalkan penyembahan mereka selama ini terhadap Nabi Isa yang mereka anggap Anak Tuhan serta pembebas mereka dari segala dosa yang dikorbankan di tiang salibnya. Kononnya Nabi Isa sanggup disalib agar dosa-dosa orang Kristian akan terhapus dengan mengorbankan dirinya. Inilah kekarutan pegangan mereka yang mereka alami selama ini.
Asalnya Kitab Injil seperti juga Taurat, Zabur dan Al-Qur’an terkandung nama Allah dalam bahasa asalnya. Di dalam Taurat Allah menurunkannya dalam bahasa Ibrani/Hebrew dengan sebutan Eloh atau Elohim singkatnya El sahaja. Di dalam Injil Allah menurunkannya dalam bahasa Aram/Aramaic dengan sebutan Elah atau Elai. Zabur juga diturunkan dalam bahasa Ibrani kepada Nabi Daud a.s. dengan sebutan Eloh. Kemudian Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebutan Arab yang nyata dan terang iaitu Allah. Ini kerana bangsa Arab adalah bangsa yang fasih lidahnya. Namun begitu jelaslah kalimah Allah memang tersebut jelas dalam kitab-kitab samawi itu tadi. Sementelah Nasrani dan Yahudi seperti juga Islam adalah Agama Samawi yakni dari Allah. Bahasa Arab dan Ibrani atau Aramaic adalah satu rumpun bahasa dari bangsa serumpun. Boleh dikatakan semua bahasanya adalah bahasa Arab Tua.
Walaupun begitu, kitab-kitab samawi yang telah diturunkan oleh Allah kepada Yahudi dan Nasrani akhirnya tidak menjadi rujukan utama dalam kehidupan mereka sendiri. Mereka mengubah apa sahaja yang diturunkan oleh Allah. Lantas meninggalkan apa yang telah diajarkan oleh nabi-nabi. Walaupun kalimah Allah terpampang di depan mata mereka dalam kitab mereka. Hanya sebagai perhiasan sahaja. Mereka hanya tahu meminta ketika susah sahaja. Mereka mengubah, mengurang atau menokok tambah mengikut selera mereka. Tiada erti puashati dalam jiwa mereka dengan hukum-hakam Allah yang diturunkan di dalam kitab-kitab samawi itu. Mereka cuba mencipta undang-undang sendiri pula dengan hukum-hukum mereka sendiri. Inilah permulaannya bagaimana terciptanya undang-undang ciptaan manusia itu iaitu di tangan Yahudi dan Nasrani untuk melawan hukum Allah. Begitulah bermulanya, yang akhirnya tersebutlah Sistem Sekular yang memisahkan di antara kehidupan dunia dan pembalasan akhirat.
Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara umat Islam hari ini yang berpegang dengan Undang-undang Ciptaan Manusia itu bertegas tidak mahu kepada Syariat Islam atau Undang-undang Allah yang diturunkan di dalam Al-Quran.
Inilah masaalah yang paling besar berbanding isu penggunaan kalimah ALLAH untuk orang kafir Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Kristian dalam Taurat dan Bible itu. Bahkan, di dalam Taurat, Zabur dan Injil terkandung hukum Hudud juga. Yang mana mereka menolak untuk mengamalkannya lantas akhirnya mereka menegaskan bahawa Hudud dalam Taurat dan Injil itu sudah lapuk serta tidak sesuai lagi digunakan. Ketika itu Nabi Muhammad telah diutuskan dan berada di Madinah. Pada suatu hari, datanglah seorang Yahudi meminta Nabi mengadili jenayah di kalangan Yahudi sendiri. Ketika Nabi tiba untuk mengadili hukuman zina yang dilakukan oleh orang Yahudi itu maka keluarlah Paderi Yahudi, dan Nabi menghukumkan sama seperti hukuman Islam iaitu 100 rotan untuk lelaki dan perempuan yang berzina yang belum berkahwin. Lalu Paderi Yahudi menyanggah dengan menerangkan bahawa hukuman zina di kalangan Yahudi ialah menyapu tanah liat ke muka dan diarakkan keliling kampung. Nabi Muhammad S.A.W. meminta Kitab Taurat dari Paderi Yahudi tersebut, dengan takdir Allah ketika Nabi membuka kitab itu langsung muka surat yang terbuka itu menunjukkan bahagian Hudud berkenaan hukuman zina yang mana jari telunjuk Nabi terus tepat di atas ayat berkenaan. Ini memeranjatkan Paderi itu, serta merta dia akur. Ayat itu tertera bahawa barangsiapa yang berzina dan belum berkahwin maka hukumannya ialah 100 jildah/rotan. Setelah selesai menjalankan hukuman Hudud tersebut Nabi pun pulang. Paderi Yahudi tadi terus mengoyakkan bahagian hukum tersebut.
Jikalau kita sebagai umat Islam kini juga mempunyai iktikad bahawa Syariat Allah tidak sesuai di zaman ini dan mengambil undang-undang ciptaan Sistem Sekular itu maka kita juga telah menjadi sebahagian dari Yahudi dan Nasrani secara tidak langsung.
Ingatlah sabda Nabi bahawa umat Islam pasti akan mengikut jejak Yahudi dan Nasrani sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga jika Yahudi dan Nasrani terjun ke lubang biawak pun umat Islam akan terjun juga. Janganlah kita menjadi sebahagian dari itu semua.
Wallahua’lam. Wassalam.
Rujukan seterusnya untuk golongan tidak faham agama.http://apanamadotcom.wordpress.com/2013/01/15/
read more